Skip to main content

Pusat Swa-Akreditasi   |  Universiti Sains Malaysia

USM PULAU PINANG, 14 Februari 2022 – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah mengadakan Lawatan Audit Pematuhan Swaakreditasi di Universiti Sains Malaysia (USM) bagi proses menimbangkan status swaakreditasi bagi universiti ini.
Lawatan itu dijalankan selama tiga hari, bermula 8 Februari dan 9 Februari secara atas talian dan secara fizikal pada 14 Februari di Kampus Induk USM.
Ia diketuai panel auditor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ir. Dr. Shahrir Abdullah dan panel auditor iaitu Profesor Dr. Nurahimah Mohd Yusoff, Profesor Dr. Shukor Abd Razak, Prof. Madya Ts. Dr. Zulkefli Mansor dan Dr. Abdul Malek Abdul Tambi.
 
Audit yang sepatutnya perlu dijalankan pada 2021 itu sebelum ini terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 menjadi audit ke-4 dijalankan selepas beberapa siri audit pada 2010, 2015 dan 2019.
 
Shahrir berkata, program-program yang diaudit pihaknya telah melalui semakan beberapa perkara penting dan kesemunya berjaya dikumpulkan dalam tempoh tiga hari penilaian.
“Semakan yang dijalankan adalah membabitkan ko-kurikulum dan maklumbalas pihak berkepentingan, namun ini adalah dapatan awal dari audit dijalankan.
 
“Seterusnya, pihak USM akan diberikan draf laporan serta maklumbalas kepada kami untuk semakan secara lebih terperinci daripada hasil dapatan,” katanya pada majlis penutup lawatan itu yang dijalankan di Dewan Persidangan Universiti (DPU).
 
Para juru audit itu turut dibawa melawat fasiliti kemudahan yang terletak di bangunan Siswaniaga@USM iaitu The Bricks yang menjadi tarikan baharu dalam meningkatkan jenama dan identiti USM. 
 
Sementara itu, Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, pihak USM berterima kasih atas lawatan audit yang dijalankan MQA serta semua yang terlibat.
 
“Lawatan audit yang dijalankan ini adalah berbentuk 'friendly manner' (mesra), dan saya berterima kasih kepada semua yang terbabit, termasuk pengurusan universiti, diketuai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dato’ Dr Narimah Samat.
 
“In shaa Allah, USM akan terus ke hadapan sekaligus menjadi antara IPTA (Institusi Pengajian Tinggi Awam) terhebat di negara ini,” katanya.
 
Teks: Mohamad Hafiz Asyraf Mohd Arop